Atasi segera

on Saturday, April 23, 2011

Source from - My Metro

Oleh Faizatul Farlin Farush Khanffarlin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 majikan di negara ini kini berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah terutama dari negara jiran apabila agensi yang membawa masuk amah ke Malaysia tidak mampu menyediakan perkhidmatan akibat kekurangan amah warga Indonesia.

Mantan Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, keadaan itu dianggap kritikal kerana amah yang berkhidmat di negara ini tidak mempunyai lapisan baru untuk menggantikan tempat mereka sebaik pulang ke negara asal, berikutan persefahaman di antara Malaysia dan Indonesia masih belum dicapai.
Beliau yang juga Pengarah Agensi Pekerjaan Haz Sdn Bhd berkata, majikan di negara ini lebih memerlukan amah dari Indonesia berikutan bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan mereka lebih berpatutan berbanding amah dari negara lain.

Katanya, perjanjian persefahaman iaitu ‘Memorandum Kemasukan Pembantu Rumah Ke Malaysia’ masih belum ditandatangani Malaysia dan Indonesia, menyebabkan bekalan perkhidmatan pembantu rumah dari Indonesia masih dibekukan.

“Kami mahu kerajaan mempercepatkan proses menandatangani memorandum persefahaman antara dua negara terbabit supaya masalah kekurangan amah di negara ini dapat diselesaikan segera,” katanya selepas bertemu dengan lebih 60 agensi pembantu rumah berdaftar bagi membincangkan isu kekurangan pembantu rumah, di sini, semalam.

Agensi pembantu rumah diarah pulang RM9,804 kepada majikan

Source from : My Metro

PUTRAJAYA: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini semalam memerintahkan sebuah agensi pembantu rumah memulangkan semula RM9,804 kepada seorang kakitangan swasta bagi bayaran mendapatkan pembantu rumah berkualiti melalui agensi itu.

Arahan itu dibuat pada prosiding tuntutan yang dibuat kakitangan swasta itu Chan Yit Wah, 41, kerana tidak berpuas hati dengan pembantu rumah yang disediakan agensi itu dan kegagalan agensi itu mengantikan pembantu rumah yang dipulangkan semula kepada agensi itu.
Presiden TTPM, Mohd Nasrim Datuk Mohd Salleh mengarahkan agensi A-P Maju Jaya Enterprise beralamat di Kuala Lumpur memulangkan keseluruhan jumlah bayaran yang dituntut oleh Chan dalam tempoh 14 selepas perintah diberikan.

Bagaimanapun, agensi berkenaan tidak menghantar sebarang wakil untuk menghadiri prosiding berkenaan.

Chan ketika ditemui selepas prosiding berkata, dia berpuas hati kerana tuntutannya diterima dan berharap kes ini diselesaikan. “Malah, tindakan ini diharap dapat memberi pengajaran kepada orang lain supaya lebih berani bertindak bagi menuntut hak mereka sebagai pengguna”.
Menurutnya, selepas dua kali bertukar pembantu rumah akibat pelbagai masalah, agensi pembantu rumah yang bertanggungjawab membekalkan perkhidmatan itu masih gagal menyediakan pembantu rumah berkualiti seperti dijanjikan.


Beliau berkata, dia membuat tuntutan kepada TTPM bagi menuntut semula kos yang sudah dikeluarkan untuk mendapatkan pembantu rumah daripada agensi itu.

Dia berkata, pembantu rumah pertama yang diambil daripada A-P Maju Jaya Enterprise hanya bertahan selama 11 hari, manakala pembantu rumah kedua hanya sempat bekerja selama empat hari.

Usah taksub kos murah

Source from - My Metro

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhammad Apendy Issahakam@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Jangan terpesona dan terlalu ghairah dengan tawaran pembantu rumah murah ditawarkan ejen sebab memang jelas akan ada unsur penipuan,” kata Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Alwi Bavutty.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kewujudan banyak ejen pembantu rumah haram akhir-akhir ini terutama selepas isu pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia yang hingga kini belum mendapat kata putus antara kedua negara.
Menurutnya, anggaran kekurangan pembantu rumah iaitu kira-kira 3,000 orang sebulan untuk majikan negara ini menyebabkan ejen haram mengambil kesempatan.

Alwi berkata, ejen haram dan pembelit dengan kata-kata manis itu akan melakukan pelbagai cara untuk menjerat majikan yang terdesak mendapatkan pembantu rumah.
“Keadaan sekarang (keperluan pembantu rumah) agak mendesak. Nak tunggu dari Indonesia biasanya terlalu lama, amah Filipina mahal manakala amah dari Kemboja pula mempunyai masalah bahasa dan kekurangan kemahiran.

“Jalan mudah majikan ambil pembantu rumah daripada ejen yang tidak berdaftar. Biasanya maklumat mengenainya mereka dapat daripada mulut ke mulut dengan kos pengambilan sekitar RM3,000.

“Tetapi saya rasa ejen haram tumbuh bagai cendawan bergerak sendiri bukan sindiket terancang. Apapun pihak persatuan harap perancangan pertemuan antara Kementerian Dalam Negeri dengan agensi kerajaan Indonesia dijangka bulan ini dapat segera mencapai kata sepakat,” katanya.

Ditanya berkenaan ada ejen haram sanggup mengugut memenggal kepala pembantu rumah jika tidak mahu melarikan diri selepas berkhidmat dengan majikan dalam tempoh tertentu, Alwi berkata perkara itu serius kerana sudah membabitkan ugutan jenayah.

“Ini dikira masuk bab jenayah. Pembantu rumah harus segera melaporkan kepada majikan sebelum makluman polis,” katanya.

Harian Metro semalam mendedahkan pengakuan tujuh majikan di sebuah perumahan elit di Taman Melawati di sini yang tertipu apabila semua amah didakwa dari Sabah dan dibekalkan sepasang suami isteri ghaib serentak.

Kerja agensi haram

Source from : My Metro

KUALA LUMPUR: “Taktik kitar semula pembantu rumah bagi mengaut keuntungan kemungkinan besar didalangi agensi pembantu rumah asing yang tidak berdaftar dan beroperasi secara haram,” kata Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Alwi Bavutty.
Katanya, mustahil agensi yang berdaftar melakukan perkara sedemikian memandangkan tindakan yang boleh diambil terhadap mereka agak berat termasuk digantung lesen.
“Tambahan pula, pengambilan pembantu rumah dari Indonesia sudah dibekukan sejak Jun 2009, jika perkara itu berlaku ia mungkin dilakukan oleh agensi haram yang ingin mengaut keuntungan mudah.

“Apabila pengambilan sudah dibekukan, pastinya pembantu rumah warga asing itu tidak mempunyai permit bekerja di sini dan ada kemungkinan mereka menggunakan pas lawatan sosial.

“Justeru, saya ingatkan kepada majikan agar segera membuat laporan polis dan melaporkannya kepada Jabatan Imigresen supaya tindakan segera dapat diambil terhadap agensi terbabit. “Ini perkara serius, jika tidak laporkan, masalah ini akan berleluasa dan merugikan majikan sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan mengenai segelintir agensi pembantu rumah asing di negara ini dikesan mengaut keuntungan sehingga berlipat kali ganda daripada seorang pembantu rumah dengan meminta mereka melarikan diri selepas bekerja antara dua hingga tiga bulan dengan sesebuah majikan dan Menggunakan taktik kitar semula berkenaan, selepas pembantu rumah melarikan diri, agensi terbabit akan menghantar pembantu rumah sama kepada majikan lain, dan sekali lagi meraih sehingga RM8,000 bagi setiap pembantu rumah. Malah, ada juga agensi pembantu rumah asing yang tidak melengkapkan dokumen yang diperlukan termasuk permit masuk dan pemeriksaan kesihatan, sebelum menyerahkan kepada majikan walaupun mereka membayar ribuan ringgit.

Alwi berkata, agensi yang berdaftar akan melengkapkan semua dokumen seperti permit masuk dan pemeriksaan kesihatan, barulah boleh menyerahkan kepada majikan.
Menurutnya, majikan juga dinasihatkan supaya menyemak terlebih dulu dengan Jabatan Imigresen.

Imigresen tidak tegas

Source from : My Metro

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammadahmadshahrul@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Segelintir majikan yang semakin terdesak dikesan lebih ‘selesa’ menggunakan pembantu rumah tanpa permit selepas mendapati pihak berkuasa berkaitan semakin jarang melakukan operasi di kawasan perumahan tempat mereka bekerja.
Malah, pembantu rumah terbabit dikatakan semakin berani melakukan kerja ‘part time’ di rumah majikan lain di kawasan sama bagi mendapatkan hasil lebih lumayan kerana yakin kawasan perumahan tempat mereka bekerja tidak akan diserbu pihak berkuasa kerana dilengkapi dengan pengawal keselamatan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman mengakui kewujudan senario majikan yang semakin cenderung menggunakan pembantu rumah tanpa permit yang lebih mudah dan murah.

Beliau berkata, kegiatan itu berlaku disebabkan kurangnya penguatkuasaan Jabatan Imigresen di kawasan perumahan elit, termasuk yang dilengkapi dengan kawalan keselamatan 24 jam.
“Memang saya akui kegiatan menggunakan pembantu rumah tanpa permit semakin menjadi ‘trend’ sejak kebelakangan ini kerana selain mudah, ia juga murah.

“Bukan itu saja, walaupun majikan menyedari akan dikenakan tindakan tegas jika ditahan menggunakan pembantu rumah tanpa permit, tetapi ia bukan halangan kerana penguatkuasaan imigresen yang tidak menyeluruh,” katanya kepada Harian Metro, semalam. Dr Maamor berkata, imigresen memiliki pelbagai undang-undang membabitkan, tetapi kebanyakan majikan tidak mematuhi peraturan itu, malah ia semakin berleluasa apabila mereka juga tidak gentar untuk menggunakan pembantu rumah tanpa permit.

Malah, katanya, ada majikan mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dengan mengagihkan pembantu rumah itu untuk digunakan bagi membasuh kain dan melakukan kerja berat lain oleh anak mereka yang tinggal di tempat lain.

Ada anak majikan yang tinggal di tempat lain sanggup membawa pakaian kotor untuk dibasuh pembantu rumah di rumah ibu bapa mereka.
“Saya melihat ia bukan saja melanggar perjanjian di antara majikan dan pembantu rumah, tetapi ia seolah-olah cuba menganiaya,” katanya.

MUSLIM housemaid for MUSLIM household only...

.