PERSATUAN Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) mencadangkan setiap pengambilan pembantu rumah mestilah melalui agensi dan memansuhkan pengambilan secara individu. Alasan mereka, ada kes orang gaji yang diambil secara individu didera dan tidak mempunyai tempat pengaduan. Soalnya, berapa peratus kes penderaan membabitkan pembantu rumah persendirian berbanding melalui agensi? Saya sendiri mempunyai seorang pembantu rumah yang saya ambil secara sendiri dan setakat ini sudah hampir dua tahun tidak mempunyai apa-apa masalah. Kalau benar persatuan berkenaan hendak memansuhkan pengambilan secara persendirian, selaraskan nilai pembayaran bagi urusan itu.
Berbanding melalui agensi, pengambilan secara persendirian boleh berjimat sehingga RM2,000. Sanggupkah persatuan menurunkan pembayaran melalui agensi sebanyak itu?Bagaimana pula keadaannya dengan kebanyakan pembantu rumah melalui agensi yang melarikan diri? Masing-masing mempunyai pro dan kontranya.
Janganlah mengeksploitasi satu masalah dan menutup masalah lain. Jadi, saya tidak setuju jika permintaan persatuan diluluskan.Berkaitan insuran, memang dialu-alukan kerana ia saling membantu pembantu dan majikan sekiranya terjadi kejadian tidak diingini.Diharap kerajaan mengambil pandangan dari segala sudut dan janganlah undang-undang dilaksanakan bagi menguntungkan sebelah pihak saja.
Perlu diingat bahawa kebanyakan orang yang mengambil pembantu rumah ini adalah daripada golongan sederhana membabitkan suami isteri bekerja.Janganlah dibebani dengan penguatkuasaan pengambilan pembantu rumah melalui agensi yang mengenakan bayaran sehingga RM6,000 berbanding secara persendirian antara RM3,000 dan RM4,000 saja.
MAJIKAN PRIHATIN
Bayan Lepas, Pulau Pinang.